Penjagaan Kesuburan Lelaki

Langkah penjagaan

Kesihatan sperma boleh dipengaruhi oleh gaya hidup dan keadaan persekitaran. Untuk menjaga kesuburan, anda perlu ambil tahu tentang faktor-faktor yang boleh menjejaskan kualiti sperma. Berikut adalah langkah-langkah yang boleh diambil untuk menjaga kesihatan sperma:

  • Mengekalkan berat badan yang sihat dengan memilih diet yang kaya dengan antioksidan untuk menjaga BMI dan kesihatan sperma anda.
  • Libatkan diri anda dengan aktiviti fizikal pada tahap sederhana yang akan meningkatkan tahap antioksidan yang boleh membantu melindungi sperma.
  • Ketidaksuburan lelaki boleh juga disebabkan oleh jangkitan penyakit kelamin. Amat penting untuk anda menyedari tentang perkara ini dan mengambil langkah-langkah sewajarnya untuk mengelakkan jangkitan.
  • Uruskan tahap tekanan psikologi anda kerana ianya dapat menurunkan fungsi seksual dan menjejaskan hormon yang diperlukan untuk menghasilkan sperma.
  • Sekiranya anda merokok, mohon berhenti. Penyelidikan menunjukkan bahawa lelaki yang merokok lebih berpotensi untuk mempunyai bilangan sperma yang rendah.
  • Masalah mati pucuk dan penurunan pengeluaran sperma boleh dialami oleh mereka yang minum arak atau alkohol berlebihan kerana ianya menjejaskan pengeluaran testosteron. Jika anda minum alkohol, amalkan kesederhanaan.
  • Ubat-ubatan tertentu seperti ubat anti-depresi dan anti-androgen boleh menjejaskan kesuburan. Steroid anabolik juga boleh memberi kesan yang sama. Anda dinasihatkan untuk berunding dengan doktor tentang ubat-ubat yang anda ambil.
  • Pendedahan kepada toksinboleh mempengaruhi kuantiti dan kualiti sperma. Sekiranya pekerjaan anda melibatkan bahan-bahan ini, ambil langkah keselamatan yang sewajarnya seperti memakai pakaian pelindung.
  • Peningkatan suhu skrotum  akan menghalang pengeluaran sperma. Untuk memastikan suhu “sejuk”, pilih pakaian dalam yang tidak ketat, elakkan sauna dan tab mandi panas dan kurangkan pendedahan skrotum kepada objek panas seperti komputer riba.

Mencari bantuan

Anda mungkin telah pun mengamalkan gaya hidup sihat untuk meningkatkan kesuburan, tetapi jika setelah setahun anda melakukan hubungan kelamin tanpa perlindungan dan masih tidak lagi mendapatkan hasil yang diingini, anda dinasihati untuk merujuk kepada pakar kesuburan untuk menjalani peperiksaan. Pakar kesuburan dapat membantu mengenal pasti punca masalah dan memberi rawatan yang sesuai untuk meningkatkan peluang anda untuk mendapat cahaya mata.